Beri Lebih (Sikit Sahaja) Konten Apabila Perlu.


Apabila mahu mempersembahkan konten, kita sudah kenal pasti konteks dan personanya. Kita sudah ada maklumat, fakta dan data untuk dimasukkan ke dalam konten. Dalam andaian kita, mungkin audien patut tahu maklumat maklumat berkaitan hal itu. Adakah kita boleh tambah maklumat berkaitan itu? Jika boleh, berapa banyak yang perlu ditambah?
Suatu hari seorang sahabat Nabi Muhammad (baca selawat) bertanya kepada baginda, "Adakah air laut itu suci?" Nabi Muhammad menjawab, "Airnya suci dan bangkainya juga halal." - Sahih Muslim
Jawapan Nabi Muhammad "...bangkainya juga halal," adalah maklumat tambahan yang tidak ditanya oleh sahabat itu.
Berdasarkan Content Marketing Nabi Muhammad, kita boleh menambah maklumat berkaitan konteks audien tetapi tidak boleh terlalu banyak. Sedikit sahaja.
Apakah kelebihan memberi maklumat tambahan?
Memandangkan audien itu berada dalam konteks tersebut, maka maklumat tanbahan itu mungkin akan membuatkan kita dilihat oleh audien sebagai orang yang memahami kehendak mereka. Ini akan menambah persona pada konten kita.
Apakah kelebihan memberi maklumat tambahan yang tidak terlalu banyak?
Seandainya kita menambah maklumat yang berkaitan terlalu banyak, audien seperti melihat kita sebagai orang yang tidak memahami kehendak mereka yang sebenar dan mungkin meraba-raba untuk mendapatkan perhatian mereka. Maklumat tambahan yang berlebihan hanya akan membosankan audien yang mungkin kurang berminat pada konten tersebut.
Apabila kita tambah maklumat dengan kadar yang sedikit, bagaimana seandainya audien ingin tahu lagi?
Apabila audien ingin tahu lagi. Berikan jawapan dengan format yang sama juga, beri jawapan dan tambah satu maklumat yang berkaitan. Ya, satu sahaja. Begitulah seterusnya. Proses ini akan memenuhi proses 'engage' dan salah satu skop dalam 'providing utiliti'.
Bersambung...
Saturday, September 19, 2015

Konten dan Konteks


"Content is king, but context is god."
Kata-kata Gary Vaynerchuk itu adalah analogi yang ekstrem dalam buku beliau. Beliau melihat konten yang mengabaikan konteks adalah kerja yang sia-sia. Apa itu konteks? Konteks melibatkan persekitaran, situasi, kefahaman manusia dan sebagainya. Content Marketing Nabi Muhammad mempunyai dua arah silang melibatkan konteks.
Pertama, konten yang berdasarkan konteks. Iaitu penulisan konten datang berdasarkan konteks yang telah wujud. Sebagai contoh, Surah al-Masad;
"Celakalah kedua tangan Abu Lahab... "
Ayat ini turun selepas berlaku peristiwa tindakan Abu Lahab. Bukan sebaliknya.
Pada fasa pra hijrah, kebanyakan konten berdasarkan konteks seperti mana Surah al-Masad itu. Ini adalah peringkat awal untuk menarik perhatian khalayak. Setiap peristiwa yang berlaku di Mekah lazimnya akan turun ayat menerangkan sisi pandang Islam yang sebenar.
Contohnya, permulaan Surah al-Rum yang mengisahkan tentang pertembungan dua kuasa besar ketika itu yang menjadi topik perbualan penduduk Arab ketika itu.
Apabila masuk kepada Fasa Pasca Hijrah, arah konten dan konteks menunjukkan perubahan. Ini berlaku apabila tribe Islam mula bertambah kuat dan tegar. Maka, konten mula memainkan peranan sehingga mewujudkan konteks.
Pada fasa ini, arah konten dan konteks akan berlaku dua hala di mana ia saling mendahului antara satu sama lain. Memandangkan tribe sudah semakin kuat dan tegar maka dengan sendiri konteks dapat diwujudkan melalui konten yang datang. Walau bagaimana pun, situasi konten mewujudkan konteks adalah situasi yang tidak terlalu kerap. Sebagai contoh, tindakan Nabi Muhammad mengahwini Zainab binti Jahsy iaitu bekas isteri anak angkat baginda sehingga menjadi satu isu yang besar bagi orang Arab.
Situasi sebegini tidak terlalu kerap berlaku. Justeru, untuk mengelakkan risiko kita bermula satu hala terlebih dahulu, iaitu konten diwujudkan berdasarkan konteks yang wujud.
Bagi saya, jika konten adalah raja, video adalah permaisurinya, maka konteks adalah istananya.
Apa yang boleh kita wujudkan pada konten kita?
Kita boleh wujudkan persona baru di dalam konten kita. Persona itu mungkin boleh dirancang tetapi boleh juga berlaku sebaliknya.

'Khidmat Pelanggan' Nabi Muhammad


Apabila kita mula mempersembahkan konten pada channel yang betul, kita dapat mengumpulkan audien dalam segmen atau persona tertentu.

Apabila audien konten Nabi Muhammad mula bertambah setiap hari. Baginda tidak dudul tercongok sahaja di rumah untuk menunggu orang datang bertanyakan soalan. Nabi Muhammad turun padang bertemu para sahabat untuk menyampaikan maklumat dan ajaran Islam.

Konten Nabi Muhammad sudah dapat menangkap persona-persona audien. Mereka mula 'engage' kepada Nabi dan konten.

Berdasarkan Content Marketing Nabi Muhammad, ia tidak terhenti kepada konten semata-mata. Audien mesti diikat melalui cara komunikasi secara peribadi. Antara ikon yang melakukan cara ini adalah Robin Sharma dan lain-lain. Beliau kerap menghantar emel bertanya dan berkongsi tips-tips motivasi supaya kita kekal 'engage'.

Kaedah Content Marketing Nabi Muhammad juga, respon sebarang pertanyaan dan masalah, mesti dilakukan dengan seberapa segera. Respon pantas memberi impak positif dalam diri audien. Mereka rasa dihargai, rasa terhutang budi.

Saya pernah berurusan dengan Institut Pasca Siswazah di Universiti Malaya melalui emel. Saya telah menghantar emel kepada emel bahagian pendaftaran di waktu malam dengan bertujuan supaya emel saya itu dibaca awal pagi esok. Tiba-tiba emel saya terus dibalas serta merta, rupanya pihak institut itu menggunakan sistem membalas emel secara automatik memandangkan masalah yang dihadapi siswazah adalah perkara yang sama. Di dalam emel itu disertakan manual berkaitan masalah saya itu. Dengan membaca manual itu, masalah saya dapat diselesaikan.

Keesokan harinya, saya menerima emel daripada pegawai yang bertugas bagi menjawab persoalan itu. Saya membalas emel itu sebagai tanda terima kasih. Rasa dihargai dan rasa terhutang budi.
Melalui Facebook pula kita dapat aplikasi kaedah ini. Kita like komen, balas komen, jawab pm dan sebagainya.

Tambahan pula, apabila kita membalas komen, like komen audien dan berkomunikasi secara peribadi, robot FB akan mengenal pasti bahawa individu  tersebut suka dengan kita. Suka itu adalah relatif. Mungkin suka kepada konten kita, suka pada kita sendiri, atau persembahan konten, ataupun persona yang tercipta daripada konten itu dan sebagainya.

Content Marketing Nabi Muhammad bukan sekadar 'khidmat pelanggan', ia lebih dari itu.
Bersambung...
Sunday, August 23, 2015

'Video' Nabi Muhammad 2/-


Perbincangan kita tentang konten Nabi Muhammad adalah tentang video. Sudah terang lagi bersuluh, konten Nabi Muhammad banyak 'dirakam' dalam bentuk 'video'. Bagaimana ini boleh berlaku?
Secara mudahnya begini. Cuba tuan puan buka satu buku hadith terkenal iaitu Sahih al-Bukhari. Cuba tuan puan baca hadith pertama. Hadith itu berkaitan niat. Adakah tuan puan terbayangkan apa-apa visual? Tidak begitu jelas visualnya, bukan?

Kemudian lihat hadith seterusnya, hadith tentang soalan salah seorang sahabat Nabi yang bertanya tentang situasi ketika wahyu turun. Pada jawapan Nabi Muhammad itu, kita ada terbayang-bayang tentang apa diberitahu oleh baginda. Ia mungkin ibarat rakaman Q&A yang biasa kita lihat. Namun otak kita sudah membikin beberapa 'foto' tentang situasi yang Nabi ceritakan itu.

Baca hadith seterusnya, hadith itu mengisahkan tentang kisah Nabi Muhammad menerima wahyu di Gua Hira'. Daripada 'rakaman' peristiwa itu, kita merasakan seperti menonton 'video' kisah itu. Tambahan pula kisah itu mempunyai babak yang dramatik dan happy ending.

Visual yang wujud diminda kita itu adalah videonya. Walaupun ia adalah interpretasi pancaindera kita, tetapi ia menggambarkan bahawa video merupakan satu bentuk persembahan konten yang paling berkesan menyentuh hati dan mendidik manusia. Ia membuatkan orang yang melihatnya 'engage' atau terikat pada hati.

Bukankah majoriti manusia lebih suka menonton daripada membaca, setuju?
Bersambung...

Saturday, August 22, 2015

Konten, Persona dan Channel 2/-



Konten Nabi Muhammad (baca selawat) merangkumi ayat Al-Quran dan hadith yang merangkumi ucapan, tingkah laku dan ciri-ciri fizikal baginda.
Bagaimana Nabi Muhammad mengalirkan konten melalui channel yang betul supaya dapat memenuhi persona para sahabat?
Pada peringkat permulaan di Mekah , Nabi Muhammad hanya menggunakan rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai tempat berkumpul dan menyampaikan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, di situlah Nabi mempersembahkan konten kepada audien. Nabi Muhammad tidak disuruh membina masjid atau markas sendiri.
Melalui penyampaian dan persembahan konten, Nabi Muhammad mula membina dan mencipta persona-persona baru yang mungkin tidak pernah wujud dalam masyarakat Arab. Mereka mula berfikir tentang kehidupan selepas mati, mula memikirkan perihal syurga dan neraka, mula berfikir bagaimana untuk berubah menjadi bertambah baik.
Kita boleh andaikan bahawa sebelum Nabi Muhammad melorongkan konten melalui channel yang betul, Nabi Muhammad membina persona-persona lain supaya ia akan mewujudkan kelompok audien yang berkongsi persona sesama mereka. Audien akan bercakap-cakap sesama mereka berkaitan persona itu.
Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah. Konten sudah bertambah banyak, ayat Al-Quran ditulis dan dibaca oleh ramai orang, tingkah laku dan kata-kata Nabi menjadi buah mulut orang. Di sana sini orang bercerita tentang Nabi dan ajarannya. Ada yang bercakap tentang peribadi baginda, ada yang bercakap tentang nikmat syurga, ada yang bercakap tentang cara-cara menjadi baik dan sebagainya.
Bermula dari situ, kita dapat lihat Nabi Muhammad mula 'membuka channel'. Baginda membina masjid apabila sampai di Madinah. Apabila ramai berkumpul di masjid, solat bersama, mendengar ajaran Nabi, menyelesaikan aduan dan sebagainya. Semuanya melibatkan pelbagai channel. Tambahan pula Nabi Muhammad mula membuka pasar untuk orang Islam berniaga, baginda mula melawa kebun-kebun, menziarahi rumah para sahabat, menegur orang di sepanjang laluan dan sebagainya. Semua itu adalah 'channel' Nabi Muhammad menyampai dan mempersembahkan konten.
Tubuh badan dan fizikal Nabi Muhammad sendiri adalah konten. Ia mewujudkan persona khusus terhadap para sahabat. Jadi, semua perkara melibatkan Nabi Muhammad adalah konten.
Ringkasnya, taktikal persona dan channel ini adalah :
1. Kenal pasti persona yang sedia ada melalui survey, temuramah dan sebagainya.
2. Bina konten yang memenuhi persona itu.
3. Wujudkan persona baru melalui channel sedia ada pada konten yang sama.
4. Apabila persona baru mula mendapat perhatian kelompok audien.
5. Bawa audien yang mempunyai persona itu melalui channel yang betul supaya konten dapat memberi impak yang maksimum.
Kuncinya, persona baru dapat diwujudkan melalui persona sedia ada. Boom!
Bagaimana Nabi Muhammad menggunakan 'video' untuk mempersembahkan konten?
Bersambung...
Friday, August 21, 2015

Konten, Persona dan Channel 1/-



Apabila konten Nabi Muhammad (baca selawat) mula bertambah, sehinggalah ia berkembang selepas baginda hijrah ke Madinah.
Ia mewujudkan persona tertentu yang unik. Di zaman jahiliah, kaum Arab hanya mengiktiraf nilai artistik dan ke'sentap'an konten sama ada ia berbaur ghairah, sedih, marah atau manifestasi alam. Persona ini membatu dalam diri mereka.
Apabila datang konten Nabi Muhammad, mereka mula mempunyai persona tersendiri terhadap konten yang dibawa oleh Nabi Muhammad. Nilai artistik yang maksimum, informasi baru yang mengandungi pengajaran, harapan, penyelesaian masalah, rahmat dan perspektif baru. Konten Nabi Muhammad telah membuka lembaran baru mereka untuk mula berfikir dan menentukan masa depan.
Adakah konten Nabi Muhammad terlalu ideal untuk ditiru?
Apabila kita dapat menentukan persona segmen audien, kita akan dapat membawa audien 'tenggelam' di dalam konten apabila konten kita memenuhi persona mereka.
Bagaimana kita dapat menenggelamkan audien ke dalam konten kita melalui persona?
Caranya melalui channel yang tepat. Channel itu merujuk kepada medium paparan konten kita. Contohnya media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Wechat, Whatsapps, Telegram dan sebagainya. Atau medium lain seperti laman web, blog, ebook, emel, forum, e-majalah, video online, panggilan telefon dan pelbagai lagi.
Setiap channel itu sesuai untuk persona tertentu sama ada satu persona atau lebih.
Bagaimana pula channel konten Nabi Muhammad menghubungkan persona audien?
Bersambung...

Konten dan Persona



Sewaktu Nabi Muhammad (baca selawat) berada di Mekah, kebanyakan maklumat yang kita terima berbentuk cerita dan kisah baginda berdakwah. Jarang sekali terdapat ucapan Nabi Muhammad yang dirakamkan sewaktu berdakwah di Mekah. Berbanding selepas Nabi berhijrah ke Madinah, rekod dan riwayat ucapan baginda dirakam dan diberitahu dari generasi ke generasi sehingga kekal hingga sekarang.
Di Mekah, konten utama Nabi Muhammad ialah ayat Al-Quran. Apakah ciri-ciri konten ayat Al-Quran yang menepati Content Marketing yang ideal?
Ciri utama ayat Al-Quran adalah ia menepati 'persona' penduduk Arab ketika itu. Apakah itu persona? Dalam Content Marketing, persona ialah ciri-ciri audien, pelanggan atau segmen pelanggan tertentu. Sebagai orang perseorangan, kita mempunyai minat dan kecenderungan tertentu. Minat dan kecenderungan itulah dikatakan 'persona'.
Walaupun setiap orang mempunyai persona yang berbeza, konten ayat Al-Quran ketika itu menepati persona orang Arab ketika itu.
Apakah kecenderungan orang Arab ketika itu? Antaranya, mereka memandang tinggi terhadap syair dan madah yang mempunyai nilai sastera yang tinggi. Di zaman jahiliah, setiap kali musim haji, para penyair dan sasterawan akan berkumpul dan mula menyampaikan puisi dan syair mereka.
'Otai' sasterawan akan memilih syair-syair yang bermutu tinggi dan digantung di Kaabah. Syair-syair ini digelar Mu'allaqat as-Sab' iaitu 'tujuh syair yang digantung'.
Apabila Nabi Muhammad diutus menjadi Rasul. Penduduk Mekah khususnya menerima konten bentuk baru. Ia memenuhi persona sedia ada ke tahap lebih tinggi dan menambah persona yang baru iaitu iaitu informasi. Bukan sahaja informasi, ia adalah informasi baru.
Bayangkan bagaimana orang Arab Mekah yang memandang tinggi nilai sasteranya membaca bait-bait ayat Surah Yusuf.
Kebaboom! Informasi baru, nilai puitis yang tinggi ditambah lagi cerita. Cerita pula disusun dengan plot yang indah. Bahkan pula para pengkaji fonetik mendapati ayat-ayat di dalam Surah Yusuf mengandungi susunan bunyi yang indah apabila dialuni. Boom! (rujuk Surah Yusuf ayat 1-3)
Konten Nabi Muhammad mengikut rapat konteks yang wujud ketika itu. Konten tidak mengambil kira konteks ibarat burger tanpa roti, ibarat pizza tanpa keju.
Berdasarkan Konten Nabi Muhammad, apabila mencapai satu tahap tertentu, konten pula yang mencipta konteks dan persona.
Konten mencipta konteks dan persona? 
Bersambung...

Followers

Popular Post

Powered by Blogger.

- Copyright © Content Marketing Gaya Nabi Muhammad -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -